Hubungan dengan manusia Monyet

Monyet mempunyai pelbagai jenis hubungan dengan manusia. Ada yang dibela sebagai haiwan kesayangan, ada yang dijadikan haiwan penolong orang kurang upaya, dan ada yang digunakan sebagai bahan ujian di makmal mahupun misi angkasa.

Sesetengah spesies monyet juga dianggap haiwan perosak dan boleh menyebabkan kemusnahan besar terhadap hasil tanaman sara diri mahupun dagangan, dan oleh itu boleh dibasmi dengan membunuh.[5] Ini boleh mendatangkan kesan mustahak kepada usaha pemuliharaan spesies terancam yang boleh mengundang pendakwaan. Adakalanya jangkaan kemusnahan oleh petani boleh melampaui kemusnahan sebenar.[6] Monyet yang terbiasa dengan kehadiran manusia di tumpuan pelancong juga boleh digeruni kerana menyerang pelancong.[7]

Dalam agama dan budaya manusia, monyet melambangkan sifat kecerdasan dan kenakalan.

Pembantu OKU

Sesetengah pertubuhan melatih monyet kapucin sebagai haiwan pembantu untuk golongan yang lumpuh badan. Setelah digaulkan di rumah manusia sejak umur baru lahir, monyet berkenaan menjalani latihan menyeluruh sebelum diletakkan dalam jagaan orang kurang upaya berkenaan. Di sekitar rumah, monyet itu membantu menyuap, mengambil benda, mengendali benda dan menjaga tuannya.[8]

Bahan ujian

Penggunaan monyet dalam makmal menimbulkan kontroversi

Spesies monyet paling umum yang didapati dalam penyelidikan haiwan adalah grivet, beruk resus, dan kera ketam, yang diperoleh secara ditangkap dari liar mahupun dibiakkan khusus.[9][10] Ia digunakan terutamanya kerana mudah dikendalikan, kitaran pembiakan yang cepat (berbanding mawas) serta keserupaan psikologi dan fizikalnya dengan manusia. Dianggarkan bahawa sebanyak 100,000 ke 200,000 primat bukan manusia digunakan untuk penyelidikan seluruh dunia setiap tahun,[10] yang mana 64.7% daripadanya adalah monyet Dunia Lama dan 5.5% monyet Dunia Baru.[11] Bilangan ini hanya sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan haiwan yang digunakan untuk kaji selidik.[10] Dari 1994 ke 2004 Amerika Syarikat telah menggunakan purata 54,000 primat selain manusia, sementara di Kesatuan Eropah 10,000 primat bukan manusia digunakan pada 2002.[11]

Sam si kera rhesus diterbangkan setinggi 55 batu (89 km) oleh NASA pada 1959

Penggunaan monyet dalam makmal menimbulkan kontroversi. Pejuang hak asasi haiwan berhujah bahawa penggunaan monyet adalah kejam dan jarang membuahkan maklumat bernilai, bahkan telah acapkali memprotes, menjarah makmal dan mengugut warga kerja berkenaan. Pembangkang pula berhujah bahawa ia telah menjurus kepada pelbagai penemuan perubatan penting seperti vaksin rabies, memahami pembiakan manusia dan pengetahuan asas tentang fungsi otak, bahkan pencegahan ancaman terhadap manusia harus diutamakan daripada ancaman kepada monyet. Topik ini merupakan perjuangan yang umum bagi pejuang hak asasi haiwan dan kebajikan haiwan.

Di angkasa

Beberapa buah negara telah menggunakan monyet sebagai sebahagian daripada program penjelajahan angkasa, termasuklah Amerika Syarikat dan Perancis. Monyet pertama yang pergi ke angkasa ialah Albert II yang menaiki roket V-2 lancaran AS pada 14 Jun 1949.[12]

Sebagai makanan

Otak monyet dijadikan makanan manusia di sesetengah negara Asia Selatan, Afrika dan Cina.[13] Daging monyet adalah haram mengikut hukum syarak Islam. Bagaimanapun, monyet boleh diburu, dijual dagingnya dan dimakan di sesetengah kawasan di Afrika.[14]

Sastera

Lukisan monyet India dari naskhah bergambar Baburnama (Catatan Babur)

Monyet sangat laris diceritakan dalam media popular baik dalam bahan bacaan mahupun tayangan filem, TV mahupun Internet. Contohnya, watak Sun Wukong si "Raja Monyet" yang terkemuka dalam mitos Cina merupakan protagonis karya epik klasik Pengembaraan ke Barat.

Patung monyet di rumah keramat Tokyo, Jepun

Agama

Dewa Hanuman yang tersohor dalam dewata Hindu adalah dewa monyet bercirikan manusia yang mengurniakan keberanian, kekuatan dan kepanjangan umur kepada penganut yang mengenang Hanuman ataupun dewa Rama.

Dalam agama Buddha, monyet adalah salah satu jelmaan awal Sang Gautama Buddha tetapi juga melambangkan muslihat dan kehodohan. Dalam fahaman agama Buddha Cina terdapat kiasan "hati monyet" yang memerikan sifat minda manusia yang tidak tenteram. Monyet juga adalah salah satu daripada Tiga Makhluk Jahil yang melambangkan ketamakan, di samping harimau untuk kemarahan dan rusa untuk keberahian.

Dalam budaya rakyat Jepun terdapat "tiga monyet bijaksana" yang masing-masing menutup mata, telinga dan mulut, melambangkan prinsip "jangan melihat, mendengar dan bercakap yang tidak baik".[15]

Kaum Moche dari Peru purba memuja alam,[16] menekankan haiwan dan sering melukis monyet dalam seni.[17]

Kaum Tzeltal dari Mexico menyembah monyet sebagai jelmaan nenek moyang.

Monyet adalah bintang kesembilan dalam kitaran 12 tahun zodiak Cina. .[18]

Berkaitan